Bakal Isteriku Bukan Doktor?

Kandungan pertama post ini saya copy sepenuhnya dari status FB Puan Dr. Nazhatul Muna. Coretan beliau sangat menarik untuk dihadamkan [LINK]. Sementara kandungan kedua itu tulisan ringkas saya.

**********************

Kita bina RUMAH ALLAH di dunia, Allah bina RUMAH KITA di akhirat.

Kita bina RUMAH ALLAH di dunia, Allah bina RUMAH KITA di akhirat.

Alhamdulillah, malam ini berpeluang mengikuti Program Forum Maal Hijrah di Surau As-Syakirin, Bandar Seri Putra. Panelisnya adalah tidak lain tidak bukan, hubby saya iaitu Ustaz Hasrizal Abdul Jamil bersama Ustaz Don Daniyal. Alhamdulillah kerana anak-anak juga hadir bersama kami terutama Imad yang berjaya tenang walaupun di dalam kelaparan.

Usai forum, kami dijamukan makanan ala nasi ayam penyet di Restoran Rebong. Antara topik perbualan Ustaz Don ialah beliau bersembang tentang isterinya yang masih di tahun akhir Sarjana Muda Perubatan di Universiti Kaherah.

Tanya Ustaz Don, “Puan, ada sebarang tips untuk saya sebagai suami kepada seorang doktor?” Dalam nada bergurau tetapi serius.

“Eh, rasanya kena tanya suami saya tu.” Saya menjawab.

“Eh, kena tahu dari pihak isteri! Kot ada yang terpendam ka..” Ustaz Don membalas semula.

“Hmm..yang pastinya tiada ‘ah’, ‘eh’ atau ‘uh’.” Jawab saya.

“Oh, macam tu ka..” Respon Ustaz Don.

Hubby saya pula melawak, “Kita ‘ah’ kat tempat lain la kot ustaz.”

Doctor

Yang saya maksudkan tiada ‘ah’ atau ‘eh’ atau ‘uh’ itu ialah suami saya seorang yang sangat memahami isterinya bergelar seorang doktor.

Seingat sayalah beliau tidak pernah memberikan sebarang syarat atau paksaan di dalam apa jua perkara yang melibatkan kerjaya saya. Bukan beliau seorang yang dayus, tetapi beliau seorang yang sangat memahami, penyabar dan sendiri berfikiran terbuka.

Sekalipun ada perkara yang beliau tidak setuju, beliau akan diam dan bertenang.

Hampir tidak pernah beliau mengata ‘NO’ tentang urusan kerjaya saya.

Beliau sentiasa memberi saya motivasi dan berfikiran positif agar saya sentiasa memberi di dalam kerjaya.

Sebagai isteri juga, saya tidak mengambil kesempatan di atas ini. Saya semakin memahami dan lebih sensitif dengan kehendak dan keperluan suami serta keluarga.

Suami yang sangat memahami tidak pernah membuat saya menduakan keluarga. Kuncinya ialah MEMBERI TANPA SYARAT! Unconditional love.

Maka pesanan saya buat suami atau isteri kepada para doktor sekalian, fahamilah pasangan anda. Berikan galakan agar mereka terus maju. Anda adalah tulang belakang mereka. Jangan sesekali berkahwin dengan seorang doktor, jika anda tidak mahu atau mampu memberi dengan sebaiknya.

**********************

Semoga bakal isteri saya membaca coretan copy and paste saya di atas.

Semoga bila tiba masanya nanti, sebagai seorang doktor, saya mampu memberikan cinta tanpa syarat. Baik kepada isteri dan keluarga. Juga komuniti pesakit yang bakal saya depani.

Jodoh itu datangnya dari Allah. Andai lemah, semoga Dia kuatkan. Andai kurang, semoga Dia hadirkan rasa cukup. Andai lebih, semoga Dia hadirkan rasa syukur.

Harapan ini bukan sekadar untuk dia yang bakal bersuamikan seorang doktor. Juga buat saya yang bakal beristerikan seorang yang bukan doktor.

Kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di dalam tulisannya [LINK];

“Mahu hebat,  mesti berani mendepani risiko. Tidak boleh berjiwa pesakit lagi berpenyakit. Berkahwin dengan doktor, sangat besar khasiatnya untuk seorang yang hebat malah lebih bersemangat nak masuk SYURGA ALLAH.”

Leave a comment