Warkah Cinta Kepada Pencipta

Bismillah..

Segala puji bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang yang tidak pernah tidur walau sesaat, yang tidak pernah leka walau sedetik, Tuhan Yang Maha Sempurna dari sebarang kecelaan juga Maha Adil dan Maha Saksama dalam mentadbir alam.

Selawat dan salam ditujukan kepada kekasih, An-Nabiyy Al-Ummiy, junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W yang aku amat mengharapkan akan ada untukku sapaan dan belaian bayu syafaatmu SAW di akhirat nanti. Yang telah membuka jalan untukku setidak-tidaknya membenihkan ruhul islam ke dalam sanubariku. Engkaulah qudwahku, uswahku, Ya Habibi.

Dan salam aluan ini jua aku utuskan dan aku layarkan untuk para Sahabat RA yang mengingatkan aku pada matlamat perjuangan Islam. Memperlihatkan kepadaku peri pentingnya peranan seorang muslim dalam mengibarkan jalur gemilang Islam di seluruh pelosok maya justeru meneruskan kesinambungan sinar dakwah yang dinyalakan oleh Rasulullah SAW supaya tidak sirna dek kepenatan beraksi di pentas lakonan ini.

Sungguh, aku berikrar!! Aku mengakui dan aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Dan Muhammad SAW itu pesuruh Allah.

Ya Allah, izinkanlah aku menyematkan ikrar ini sedalam-dalamnya ke dalam lubuk hatiku. Izinkanlah hatiku berpasakkan syahadah. Kelak bercambah tunas-tunas amal islami seterusnya tumbuh subur lalu membuahkan rasa kenikmatan dalam menzahirkan ketaatan kepadaMu.

Aku tahu amat mudah untukku berkata-kata. Sangat senang bagiku untuk meluahkan bicara ini. Tidak sukar bagiku untuk menggerakkan jari ini melapah isi hatiku lalu aku lampirkan di warkah ini. Tapi untukku membuktikan, merealitikan, menjelmakan dan menzahirkan amalanku hanya kepadaMu adalah satu tugas yang bukan mudah.

Lantaran diri dibanjiri dengan lumpur kemaksiatan, diselubungi dengan awan keraguan, hati diselimuti dengan renda bersulamkan benang dunia. Sudah puas aku cuba namun belum aku mampu. Aku tahu Kau sedang berbicara denganku menzahirkan sayangMu kepadaku. Kerana sayangMu bukan seperti sifat sayang yang membalut di hati makhlukMu. Rasa sayangMu, belaian kasihMu, seakan aku mengerti walau terkadang mengelirukan hati yang sentiasa tergelincir.

Aku minta sesuatu, Engkau terus memperkenankannya. Aku tahu, Engkau sayang kepadaku. Aku minta lagi, Engkau menangguhkan jua melambatkan perkenanMu. Bukan tanda Engkau jemu dengan permintaanku tapi aku tahu Engkau sayang kepadaku. Aku minta lagi, Engkau tidak memberikan aku akan barang yang aku minta, malah Engkau gantikan dengan sesuatu yang lain. Agak sukar untukku menerima namun pemberianMu adalah jauh lebih baik dari apa yang aku minta.

Tidak semestinya apa yang aku mahu, adalah yang terbaik untukku. Dan tidak semestinya apa yang aku tidak mahu menatijahkan hasil yang tidak baik bagiku. Hanya Engkau yang tahu apa yang terbaik untukku dan aku sama sekali tidak dapat mengintai rahsia perbendaharaanMu. Di dalamnya tersirat hikmah jua rantaian rahmat yang tidak pernah terjangkau oleh akalku. Untuk itu, aku tahu Engkau sayang kepadaku.

Namun, adakah layak untuk diri ini disayangi? Adakah layak untuk diri ini dikasihi? Adakah layak untuk jiwa ini dicintai? Aku sama sekali merasa malu. Diriku hanyalah hasil cantuman benih dan cecair yang hina. Diriku yang asalnya merupakan tanah yang menjadi injakan manusia. Tiada apa yang boleh aku banggakan. Betapa rendahnya diriku. Betapa jauhnya jarakku denganMu Tuhanku.

Ya Allah, aku amat mengharapkan petunjukMu. Aku sangat mendambakan bimbinganMu dalam menggapai matlamat hidupku di dunia ini. Dan kini, matlamatku tidak lain. Hanyalah aku mengimpikan di hujung helaan hembusan nafasku, destinasi terakhirku, SHAHID di jalanMu.

Oleh itu Ya rabbi, izinkanlah aku melakar kehidupanku dengan pena berasahkan petunjukMu. Semoga aku dapat mewarnai lukisan hidupku ini dengan warna yang diilhamkan olehMu. Aku tidak dapat menghalang ranjau dan onak yang akan membataskan pergerakanku. Namun ketika itu, aku amat berharap aku mampu bangkit, merangkak, bertatih, berjalan dan terus berlari di atas landasan syariatMu lalu terus memacu diriku ke arah matlamat di akhir helaanku, SHAHID fillah!

Ya rabbi, aku amat berharap Kau sudi seandainya aku ingin berkasih denganMu, bercinta dan mengimpikan kenikmatan sentuhanMu. Tenggelamkanlah aku dalam kenikmatan kasih sayangMu.

Ya Rabbi, I Love You!
[Imported from my previous BLOG]

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s